Monday, May 18, 2009

'People Centric': Projek Persekutuan untuk merampas Selangor

http://www.harakahdaily.net


Program 'People Centric' dilancarkan BN di Selangor bertujuan merampas kembali negeri itu daripada pentadbiran Pakatan Rakyat. Menurut satu dokumen yang diperolehi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, program yang diterajui Pejabat Pembangunan Negeri Selangor itu turut bermatlamat menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat. Lebih menimbulkan kontroversi apabila BN memperalatkan Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjayakan 'People Centric'. Ikuti penjelasan Adun Kampung Tunku, LAU WENG SAN ketika ditemubual wartawan Harakah, SAIDAH HAIRAN di pejabatnya di Petaling Jaya.


Pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor awal Februari lalu, saudara ada membawa usul berkenaan program 'People Centric' yang dilaksanakan oleh Umno-BN Selangor. Boleh saudara jelaskan?


Apa yang saya ada adalah kertas kerja di mana taklimat telah dilakukan untuk melaksanakan program 'People Centric'. Saya terkilan apabila membaca objektif program ini yang dengan jelas bertujuan untuk 'menawan kembali negeri Selangor daripada pembangkang' (Pakatan Rakyat).


Saya telah membawa perkara ini kepada perbincangan Exco. Exco menasihatkan supaya dibawa ke dalam sidang Dun dan kami telah membawa isu ini ke dalam perbincangan Dun.


Setakat ini bagaimana pengaruh program 'People Centric' kepada masyarakat?


Saya rasa mereka memasukkan program ini ke dalam program Adun dan ahli Parlimen BN dalam negeri Selangor saja. Ini bukan macam satu pakej. Kalau kita lihat apa yang tertera dalam kertas kerja ini ia ternyata tidak mempunyai satu hala tuju.


Saya kata kalau kita bandingkan dengan program Memasyarakatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) adalah satu program yang khusus dengan pakej. Ada Tabung Warga Emas (Tawas), Orang Kurang Upaya (OKU) bantuan pelajar dan macam-macam lagi.

'People Centric' saya rasa masih berada dalam peringkat perangkaan. Apa yang mereka hendak lakukan masih agak samar. Ia tidak nampak fokus kepada sasaran tetapi hanya dilakukan di tempat-tempat tertentu, dan kebanyakan mereka masukkan Adun dan ahli Parlimen BN ke dalam program ini.


Saya belum nampak program ini meninggalkan kesan di kawasan saya. Tetapi mungkin ia akan memberi kesan kepada rakan-rakan kita di kawasan luar bandar dan pekan.


Mengikut kertas kerja ini BN hanya memberi bantuan seperti ketika banjir dan kebakaran. Itu bantuan yang biasa dilakukan.


Bagaimana dengan penglibatan jentera Kerajaan Pusat dalam program 'People Centric' ini?


Ya! BN menggunakan jentera kerajaan. Ini yang tidak betul. Program ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Di bawahnya ada satu unit iaitu Penyelaras Pelaksanaan. Di bawah unit ini ada Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) di setiap negeri. Jadi program ini didaftar melalui Selangor.


Saya difahamkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kalau di Selangor tidak seperti dahulu terus kepada Pejabat Daerah. Malahan kami di peringkat Dun mengahadapi kesukaran kerana tidak mendapat peruntukkan Kerajaan Persekutuan. Ada yang dapat tetapi lambat khususnya peruntukkan terus daripada Kementerian.


Bagaimana saudara melihat program 'People Centric' ini sebagai strategi BN menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat?


Ia dinyatakan dengan jelas dalam kertas kerja ini. Hendak menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan BN menawan kembali Selangor. Program yang dilaksanakan untuk memenangi hati rakyat serta meningkatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Persekutuan dan terus menjatuhkan kredibiliti atau imej parti pembangkang. Untuk mengekalkan terus kesinambungan pemerintahan Kerajaan Persekutuan di bawah BN.


Saya rasa jika sebuah parti politik hendak melaksanakan program-program politik untuk membantu rakyat dengan 'bertopengkan' tema perpaduan rakyat, itu boleh saya terima. Tapi jika mereka menggunakan jentera kerajaan dengan ditulis secara terang (dalam sebuah dokumen) saya rasa BN telah melanggar prinsip demokrasi berparlimen yang dijalankan di Malaysia.


Sturuktur politik kita (di peringkat negeri) sama dengan Kerajaan Persekutuan. Negeri ada kuasanya begitu juga Persekutuan. Jadi antara kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing kena hormat menghormati. Cara kerajaan BN ini cuba memperkudakan sistem perkhidmatan awam untuk kepentingan politik mereka. Dulu BN melakukan secara senyap-senyap sekarang ini sampai tulis kertas kerja. Saya rasa ini menunjukkan tahap kecemasan yang dihadapi BN.


Dimana tempat yang BN telah laksanakan program People Centric?


Di Jalan Kebun, Sabak Bernam, Sementa, Kapar, Dusun Tua, Ampang, Sungai Air Tawar dan Kuang.


Struktur yang kita lihat antara ahlinya ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Yang menjadi kontroversi ialah BN menggunakan Majlis Keselamatan Negara dan SPR.


Jika dilaksanakan ia akan menjadi satu program yang lengkap untuk menjalankan agenda politik BN. Saya rasa sekaligus merosakkan sikap hormat menghormati yang perlu ada dalam kerajaan sama ada BN jadi kerajaan atau Pakatan Rakyat menjadi kerajaan. Masing-masing ada batasannya. Kita melaksanakan MES dan pelaksanaan itu dengan jelas untuk semua tanpa mengira fahaman politik. Tapi program People Centric memang jelas bertujuan politik.


Selepas dibawa dalam perbahasan di sidang Dun apa keputusan tersebut?


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengirim surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSU) bertanya mengapa Jabatan Perkhidmatan Awam boleh digunakan oleh parti politik (BN). Saya difahamkan surat itu masih belum ada jawapan.

Dalam masa yang sama kita kena tumpukan perhatian dengan kerja kita. Saya rasa rakyat yang sepatutnya menjadi hakim kerana mereka yang arif untuk menghakimi siapa yang betul dan siapa yang salah.


Kami tidak takut dengan persaingan asalkan persaingan itu sihat. Jika persaingan itu untuk menjatuhkan musuh dengan cara yang tidak sihat saya rasa ia kena ditegur.


Apakah saudara lihat jentera BN negeri dalam keadaan lemah dan terdesak sehingga terpaksa melaksanakan program People Centric?


Mereka hanya boleh menumpukan perhatian di kawasan-kawasan yang mereka menang. BN ketandusan idea hendak menang di kawasan yang telah kalah. Saya rasa dengan pelaksanaan program 'People Centric' kalau tidak dirancang dengan baik ia akan gagal. Umno kena mengadakan sesuatu untuk mengimbangi pelaksanaan program MES yang berterusan dijalankan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.


Pelaksanaan pemberian air percuma adalah satu program MES. Kerajaan telah melaksanakan dengan lancar dan pemberian ini telah mendapat sambutan baik daripada masyarakat Melayu dan India khususnya masyarakat luar bandar. Masyarakat Cina dulu lambat, tapi sekarang ini mereka sudah laju.


Jadi dengan pelaksanaan pemberian air percuma itu menyebabkan BN rasa tertekan. Dulu ketika kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir dalam tempoh setahun BN kata kalau kerajaan Pakatan Rakyat bagi air percuma itu tidak munasabah dan akan menyebabkan kerajaan bangkrap dan sebagainya.


Ini tidak mungkin berlaku. Pelaksanaan pemberian air percuma dijalankan awal Jun 2008. Makin BN kata kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak boleh laksana, makin kita (kerajaan negeri) laksanakan. Itu yang menyebabkan BN semakin tertekan.


Adakah kerana itu juga Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dato' Mohd Khir Toyo mencadangkan Perdana Menteri diberi peranan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri?


Saya rasa Khir Toyo akan mengulangi sejarah di Perak. Walaupun Dato' Seri Tajol Rosli pernah meminta Najib menjadi Pengerusi Perhubungan Umno di Perak, perkara yang sama jika diulangi di Selangor ia kurang berkesan. Pertama lebihan kerusi, situasi di Perak dan Selangor berbeza. Perak banyak kawasan luar bandar tetapi di Selangor banyak kawasan bandar.


Kebanyakan kerusi yang ada kerusi campuran. PAS, KeADILan dan DAP kuat. Saya rasa kalau hendak tukar kerajaan negeri seperti dilakukan di Perak susah. Saya rasa cara atau idea Khir Toyo tidak betul. Jika BN betul-betul mahu menawan kembali negeri Selangor mereka kena bersaing dengan Pakatan Rakyat.


Umno-BN perlu betul-betul insaf dengan apa yang telah mereka lakukan terhadap rakyat. Sebab sekarang ini setahun sudah berlalu. Sekarang ini sudah tiba masanya Umno-BN menunjukkan bukti sebagai sebuah pembangkang yang kuat dan bagus terutama di sidang Dun. Jangan hanya hendak mengeksploitasi yang tidak ada kena mengena dengan pentadbiran awam.


Kalau katakan kerajaan Pakatan Rakyat dasarnya tidak baik, BN kena tegur. Tetapi sekarang Umno-BN tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam sidang Dun. Ada yang datang hanya untuk memanaskan kerusi, ponteng dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan. Jika mengambil bahagian dalam perbahasan pun tidak ada idea dan fakta yang jelas, bagaimana hendak memerintah negeri?


Saya rasa perasaan cemburu Umno-BN itu masih ada lagi. Jika sikap ini masih ada maka susah sikit untuk Umno-BN hendak tawan negeri Selangor semula.


Rakyat di Selangor mempunyai tahap pengetahuan dan kesedaran politik yang baik. Saya rasa mereka tahu membezakan siapa pemimpin yang betul-betul memberi khidmat kepada rakyat. Di Selangor model Pakatan Rakyat adalah yang paling berjaya sebab kita ada kerusi PAS, KeADILan dan DAP yang sama banyak. Bukan saja di peringkat Exco tetapi di kalangan Kelab Penyokong Kerajaan.


Kami menghadapi masalah yang sama. Sebab itu kami mempunyai keserasian dalam menjalankan tugas sebagai Adun. Kami tidak melihat dalam menjalankan tugas sebagai Adun DAP, PAS dan KeADILan tetapi sebagai Adun yang dipilih oleh rakyat.


Jika Umno-BN cuba untuk melaga-lagakan kami di Selangor, ia suatu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan kerana hubungan kami amat rapat.



No comments: