KISAH BENAR 1 : SEMALAM DI MAHKAMAH
''Tidak pernah sepanjang berkhidmat dalam bidang perundangan ini saya mendapat atau berjumpa atau mengetahui pihak penjara boleh mengeluarkan
Itu merupakan reaksi Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin apabila peguam bela S. Saravanan mengemukakan surat tersebut kepada mahkamah hari ini sebagai sokongan terhadap rayuan untuk mengurangkan hukuman anak guamnya, Yap Yong Yee @ Mohd. Razif Yap Abdullah, 29.
Terdahulu, Mohd. Razif mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk satu tuduhan pilihan iaitu memiliki sepucuk pistol dan sembilan butir peluru hidup. Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 3.45 pagi, 23 Februari tahun lalu di Batu 3, Jalan Ipoh di sini. Tertuduh yang merupakan anak kepada seorang pegawai kanan polis sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 sebelum pertuduhan tersebut dipinda kepada Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Zainal Abidin juga sempat bertanya kepada Mohd. Razif perkara pertama yang akan dilakukan apabila dibebaskan kelak.
''Saya nak tengok anak dulu. Saya tak dapat tengok anak masa di penjara, tak dapat nak tengok mereka masuk sekolah. Nenek saya meninggal beberapa minggu lalu pun saya tak dapat tengok. Saya rindu anak-anak,'' katanya sambil menangis menyebabkan beberapa orang awam termasuk wartawan menitiskan air mata.
Mahkamah selepas meneliti hujah dan rayuan kedua pihak menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan bermula dari tarikh tangkap ke atas tertuduh.
Zainal Abidin, sebelum prosiding berakhir sempat menyatakan: ''Encik Mohd. Razif, saya hanya boleh ucapkan selamat berjaya, jadikan kesilapan awak ini sebagai motivasi untuk menjadi seorang yang lebih berguna dan setegas mana pun seorang bapa ia adalah untuk kebaikan. Awak boleh jumpa keluarga awak.''
Mohd. Razif dan bapanya kemudiannya sempat berpelukan dan kedua-duanya dilihat menangis hiba selama beberapa minit di mahkamah sebelum tertuduh dibawa masuk ke lokap.
KISAH BENAR 2 : 4 HARIBULAN 2004.
“Keluar kandang! Saya perintahkan kamu pergi salam, cium tangan ibu kamu dan minta ampun,'' kata Majistret Nazran Mohd. Sham di Mahkamah Majistret di sini hari ini kepada seorang pelajar sebuah politeknik di Shah Alam.
Remaja itu kelihatan kebingungan dan seakan-akan tidak mempercayai arahan terhadapnya setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan sebuah motosikal curi dengan memberi kepada rakannya.
Terdahulu, Nazran menanyakan usianya yang dijawab dengan nada yang tidak bersungguh-sungguh dan tersengih-sengih.
Nazran: ``Umur kamu berapa?''
Remaja: ``18'' (sambil tersengih-sengih)
Nazran: ``Ibu kamu masih menanggung kamukah?''
Remaja:``Ya'' (masih ketawa).''
Nazran: ``Sampai bila ibu kamu nak tanggung kamu?''
Remaja: (tersenyum-senyum sambil melihat ibunya)
Nazran: ``Kenapa kamu tersengih-sengih, kamu ingat main-main ya? Kamu tidak kasihankah melihat ibu kamu. Sampai bila dia hendak menanggung kamu”
``Kamu tidak tahukah syurga terletak di bawah tapak kaki ibu? Pergi minta ampun padanya. Pergi sekarang,'' kata majistret itu dengan nada keras.
Remaja itu yang masih terpinga-pinga terus keluar dari kandang dan mencium tangan ibunya yang duduk di galeri awam tidak jauh dari kandang tertuduh.
Ibu yang memakai baju kurung warna merah jambu terharu sambil menangis semasa anaknya mencium tangannya yang disaksikan dalam suasana keinsafan oleh mereka yang berada di dalam mahkamah.
Nazran: ``Macam mana ibu? Maafkan dia?''
Ibu remaja itu mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali.
Nazran kemudian memerintahkan remaja itu dibebaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan ibunya sebagai penjamin serta jaminan RM2,000 tanpa cagaran.
Remaja itu dilihat meninggalkan mahkamah sambil beriringan dengan ibu dan dua orang saudaranya kira-kira pukul 10.45 pagi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu yang memakai baju-T warna merah dan berseluar jean biru mengaku bersalah atas tuduhan pilihan melupuskan sebuah motosikal curi jenis Honda bernilai RM4,500 kepunyaan seorang pengawal keselamatan, Abu Hashim dengan memberikan kepada rakannya, Mohd. Fikri Ahmad, 19.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6 petang, 14 Julai lalu di hadapan Restoran Ameer Conner, Shah Alam. Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Yeak Tiew Poh manakala remaja itu tidak diwakili peguam.
Ketika mengemukakan rayuan, remaja itu memohon dia dibebaskan dengan bon berkelakuan baik kerana ingin membantu ibunya berniaga makanan. Menurut remaja itu, dia juga berhasrat menyambung kembali pelajarannya di sebuah kolej swasta.
Mengikut fakta kes, motosikal itu dilaporkan hilang oleh Abu Hashim di Jalan Maarof, Bangsar di sini. Polis kemudian telah menahan Mohd. Fikri semasa operasi Ops Cobra yang dijalankan sekitar Shah Alam. Setelah disemak, didapati motosikal itu dilaporkan masih hilang. Mohd. Fikri kemudian memberitahu anggota polis bahawa motosikal itu telah diberi oleh rakannya. Polis kemudian menahan tertuduh di sebuah restoran di Taman Seri Muda, Klang.
_________________________
Sehari berikutnya (5 Disember 2004) saya menghubungi Majistret tersebut. Beliau merupakan kawan dan senior saya semasa belajar di IPT dahulu. Kami sama-sama mewakili Universiti di dalam Pertandingan Sukan Intervarisiti tetapi di dalam bidang sukan yang berlainan. Saya mengucapkan TAHNIAH kepada beliau kerana membuat KEPUTUSAN yang MENARIK dan MENYENTUH PERASAAN tersebut. Jika berjumpa atau appear di hadapan mesti panjang perbualan kami.
Tak sabar juga rasanya MENUNGGU perjalanan kes MB Perak di Mahkamah Persekutuan kelak. Adakah YAA akan membuat SATU KEPUTUSAN yang MENARIK juga?
Jeng.. jeng.. jeng....
No comments:
Post a Comment