Wednesday, February 25, 2009

Jangan lari dari dasar perjuangan kita

Dalam kita resah menghadapi ketidak tentuan ekonomi dan politik khasnya dalam negara, lega rasanya bila mana ada lagi pimpinan yang mengambil masa untuk menekankan aspek tarbiyah. Saya kagum membaca laporan tentang peringatan Hj Muhammad Sabu, Naib Presiden PAS dalam satu program Muslimat di Selangor agar ahli-ahli PAS memperkukuhkan aspek tarbiyah dikalangan mereka dan menyuburkan sifat berkorban secara ikhlas demi Islam dan perjuangan.

Dikala masing-masing sibuk dengan mempertahankan kuasa dan menyerang musuh, “Abang Mat” memanggil kita bermuhasabah agar jangan longgar dan kendur aspek tarbiyah kita. Bukannya mempertahankan kuasa dan menyerang musuh apabila diserang itu tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah kekuatan dalaman yang perlu dipacu dan diperkukuhkan kerana inilah aset terpenting yang berjaya mengekalkan perjuangan PAS sekian lama.

Sesungguhnya tarbiyah menanam, mendidik dan meyakinkan kita agar berpegang dan bergantung kuat pada aqidah yang merupakan jantung dan tunjang perjuangan kita.

Tambah-tambah dalam kita merenangi lautan kemenangan yang dianugerahkan sementara kepada kita ini, jangan sekali-kali kita lari dan terpisah dari dasar dan prinsip kita. Secara asasnya prinsip kaedah tarbiyah kita ialah kaedah Islam yang merujuk terus kepada al Quran dan al Sunnah. Gerakan Islam PAS bergerak atas landasan dan kekuatan ini. Tarbiayah tidak dicetuskan dari logik akal dan nafsu selera, tetapi dari warisan dan disiplin agama yang dipelihara dan dipatuhi.

Amtlah malang dalam suasana kita diberikan sedikit kesenangan lalu kita merasakan yang ianya hasil usaha kita semata-mata, kita merasakan kehebatan diri kita mengatasi penat-jerih, doa dan pengorbanan mereka yang di bawah, lalu kita melonjak kehadapan merasakan yang kitalah yang berhak mencorakkan perjuangan ini, kerana kemenangan ini milik kita.

Perkukuhkanlah kekuatan dalaman kita dengan memastikan yang disiplin tarbiyah kita terus dituruti dan dipatuhi. Bayangkan inilah perkara yang difikir dan dikhuatiri oleh Almarhum Prof Zulkifli Muhammad, Timbalan Presiden PAS (ketika itu) kira-kira 45 tahun yang lalu apabila dihadapan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan beliau berkata:

"Jangan ada seorang pun yang takabur, yang merasa dirinya sudah pandai bahawa dirinya sudah tahu apa pengajaran Islam. Bahawa dirinya sudah tidak perlu diajar oleh sesiapa, kerana dia sudah menjadi wakil rakyat. Dia perlu mendekatkan dirinya dengan al quran, dengan buku-buku Islam, dengan hadis-hadis Nabi Muhammad saw, dengan sejarah-sejarah Islam. Supaya kita sentiasa ingat kepada Tuhan".

Kerana itu dalam menghadapi suasana yang genting ini perlu sangat kita terus berpegang pada kepimpinan ulamak, bagi menjadi rujukan dan sumber ilmu yang memandu kita dalam perjuangan yang sangat besar dan sungguh mencabar ini. Dan tiba-tiba saya teringatkan lirik lagu rasmi PAS:

Berjuanglah wahai ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa

Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi



~ Roslan SMS Corner

No comments: