Wednesday, October 29, 2008

Nasib Razak, Azilah, Sirul diketahui esok

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda bersama dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman akan mengetahui nasib masing-masing, Jumaat ini, sama ada mereka bakal dibebaskan ataupun diperintahkan membela diri atas tuduhan berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Seandainya Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin memutuskan Abdul Razak, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar perlu membela diri, maka semua akan berpeluang mendengar versi keterangan tertuduh.

Azilah, 32, dari Unit Selam Tempur manakala Sirul Azhar, 36, yang bertugas mengiring VVIP (orang kenamaan penting) di luar negara, didakwa membunuh Altantuya, 28, antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini.

Sementara Abdul Razak, 48, pula didakwa bersubahat dengan kedua-dua tertuduh dalam pembunuhan pada 18 Oktober 2006 di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia (LGAM), Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Namun andai kata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes maka tertuduh akan dilepaskan dan dibebaskan pada peringkat akhir kes pendakwaan tanpa perlu memberi keterangan pembelaan.

Penghakiman tersebut mungkin ringkas tetapi pastinya mencakupi lima hujahan yang terkandung dalam nota prosiding perbicaraan setebal 6,000 muka surat.

Sepanjang 151 hari prosiding perbicaraan seramai 84 orang saksi pendakwaan telah memberikan keterangan. 40 daripadanya ialah saksi polis.

Mengimbas prosiding terakhir pada 18 September lalu, Hakim Mohd. Zaki yang meneliti hujahan bertanya mengenai rekod transaksi telefon bimbit (CDR) yang dikemukakan.

Menurut hakim, berdasarkan pengiraan terdapat 17 transaksi yang menunjukkan perbualan antara Abdul Razak dengan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Supritendan Polis (DSP). Terlintas di fikiran hakim, apakah sebenarnya yang mereka bincangkan? Apakah pula tujuan DSP itu memperkenalkan Abdul Razak kepada Azilah.

Abdul Razak ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) itu berkelulusan sarjana bidang kajian perang dari King's College, Universiti London. Dia banyak menulis mengenai isu-isu politik, pertahanan dan antarabangsa.

Azilah mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003. Dia juga mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

Sirul Azhar yang mula berkhidmat dengan UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.


No comments: