Thursday, June 26, 2008

Bila Ella dan Mas Idayu LEBIH HANGAT dari harga minyak

Setelah sunyi senyap tatkala harga runcit minyak naik, sekonyong-konyong Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus terpisat-pisat bangun daripada tidur.

Shukor yang juga Adun parti pembangkang BN-Umno bagi Dun Kuang 'dikejutkan' oleh dua penyanyi sensasi, Ella dan Mas Idayu.

Idrus lantas 'menghunus keris' dengan menuntut Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan Dewan Pemuda PAS negeri menyatakan pendirian berhubung penampilan Ella dan Mas Idayu pada konsert yang dijadualkan berlangsung sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, 6 Julai ini.

Shukor dilaporkan 'hairan' dengan sikap Hassan, Exco agama dan adat istiadat Melayu negeri itu yang dianggapnya hanya mendiamkan diri dan membiarkan Dewan Pemuda PAS negeri membuat bantahan awal.

"Selepas membentuk kerajaan negeri, Hassan Ali dengan tegas menyatakan akan mengharamkan sebarang konsert hiburan di negeri ini, tetapi sekarang apa sudah jadi, kita mahu tengok sejauh mana ketegasan mereka berhubung kehadiran Ella dan Mas Idayu bulan depan.

"Begitu juga dengan pendirian Pemuda PAS sendiri, apa pendirian setelah Tuanku Sultan mempersoalkan tindakan mereka membuat bantahan dan berhasrat mahu memindahkan penganjuran perlawanan itu ke Singapura," Shukor membentak.

Begitu bersemangat Shukor mengutarakan isu dua penyanyi itu sedangkan sebagai Adun mewakili parti pembangkang, beliau seharusnya lebih peka tentang kesulitan yang dihadapi rakyat ekoran kenaikan mendadak harga runcit minyak.

Adakah nasib dua orang artis itu lebih diutamakan Shukor dan Pemuda Umno negeri pimpinannya daripada nasib 2 juta rakyat Selangor yang terkesan dengan kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian.

Shukor seharusnya sedar bahawa bantahan Pemuda PAS Selangor terhadap pemilihan Ella dan Mas Idayu berasas. Bantahan itu juga bukan bermaksud Pemuda PAS negeri antihiburan, tetapi hanya mahukan artis lain seperti M. Nasir, Akil Hayy ataupun Mawi yang dianggap lebih bersopan dijemput membuat persembahan.

Walaupun Sultan Selangor dilaporkan kecewa dengan bantahan Pemuda PAS sehingga melahirkan hasrat untuk mengadakan perlawanan berkenaan di Singapura, baginda pastinya tidak mendapat maklumat tepat berhubung punca bantahan itu. Oleh itu, kesediaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membawa pemimpin Dewan Pemuda PAS Selangor menghadap baginda sebelum akhir bulan ini amat dialu-alukan.

Diharap baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri mendapat gambaran sebenar berhubung bantahan Pemuda PAS itu. Apatah lagi, Selangor adalah antara negeri yang paling teruk dilanda fenomena kebejatan sosial. Jika dulu ponteng, rokok dan dadah menjadi ancaman golongan remaja; kini ditambah gejala samseng, bohsia, lacur dan rempit.

Remaja negeri ini bukan sahaja perlu dididik dan dibimbing, atau didisiplinkan dengan peraturan dan undang-undang; mereka perlukan role model yang baik untuk diikuti dalam segenap bidang termasuk hiburan.

***

"Ai tak habis-habis lagi ke?... Kan PKR (KeADILan) boleh turunkan harga minyak. Kita dah bagi can (peluang) untuk perubahan. Berubah le. Mulakan dengan ternakan khinzir di Selangor secara besar-besaran dengan mengambil hak tanah orang Melayu. Oklah tu... Itulah yang Melayu nak. Pulau Pinang juallah kat Cina. Melayu merempat. Oklah tu. Itu yang Melayu nak. Jangan menang sorak kampung tergadai..."

***

SMS di atas saya terima daripada seorang akivis Wanita Umno bahagian selepas satu SMS nakal berhubung kenaikan harga minyak dimajukan (forward) kepadanya.

Marah sakan penyokong kuat Umno itu apabila diasak dengan isu kenaikan harga minyak. Maka berbalas-balas SMS lah kami. Bagaimanapun ianya berakhir apabila saya mengusik..."Melayu insya Allah terus hidup, yang mati Umno. Tak ikut Che Det keluar Umno ke?"

Dari dua insiden di atas, nampak jelas sentimen perkauman dan agama sentiasa dimainkan Umno untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Ianya selari dengan kenyataan Shukor yang mendakwa kesal dengan sikap PAS kerana berdiam diri dalam isu penternakan babi di Sepang dan cadangan kerajaan negeri untuk menghapuskan peraturan yang mengehadkan saiz rumah ibadat bukan Islam.

"Tindakan mereka itu boleh dianggap sebagai merestui usaha yang mengabaikan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, ini yang kita hairan," dakwa Shukor dalam Utusan online.

Begitulah hebatnya Umno Selangor kini dalam 'memperjuangkan' nasib Melayu. Seolah-olah Melayu kini terancam hanya setelah 100 hari parti selain Umno dan BN memerintah negeri.

Keghairahan Umno kini dalam memainkan sentimen perkauman dan agama sudah sampai ke tahap menjengkelkan. Lebih mendukacitakan, para penyokong fanatik parti itu tidak dapat membezakan isu real yang melingkari hidup mereka dengan isu sensitif yang disandarkan kepada rasa sentimen yang tebal.

Mereka hilang punca untuk melihat sesuatu isu berdasarkan keutamaan. Oleh itu, tidak pelik jika kita melihat bagaimana kecohnya Pemuda Umno Selangor mengadakan demonstrasi membantah pembahagian kerusi Exco dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hampir saban minggu; tetapi berdiam diri dalam isu kenaikan harga minyak walaupun ia membebankan rakyat khususnya orang Melayu di kampung-kampung.

Adakah sikap ini boleh membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat khususnya orang Melayu? Jawapannya sudah pasti tidak.

Umno telah diberi peluang hampir setengah abad memerintah Selangor dan negeri-negeri majoriti Melayu. Adakah taraf hidup Melayu semakin meningkat? Statistik yang didedahkan para pemimpin Umno dalam perhimpunan agung parti itu menafikan tanggapan tersebut.

Lihat sahajalah ribuan penduduk Melayu Islam yang dihalau seperti kerbau dan lembu daripada perkampungan setinggan oleh pentadbiran Khir Toyo dengan berbekalkan slogan "Setinggan Sifar". Begitu juga masalah pencemaran alam sekitar akibat aktiviti ternakan babi secara tidak terkawal di kampung-kampung Melayu sekitar Sepang dan Hulu Langat.

Banyak lagi 'kotoran' warisan Umno-BN yang terpaksa dibersihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat termasuk eksploitasi dan dominasi keperluan asas rakyat (seperti bekalan air), ekoran perjanjian berat sebelah syarikat swasta dan kerajaan negeri pimpinan Umno-BN.

Shukor, pemuda Umno dan Umno negeri perlu merasa malu dengan warisan buruk mereka. Janganlah terlalu ghairah berkokok sehingga lupa ekor yang bergelumang najis. Generasi baru kini lebih bijak menatari isu lantaran sumber maklumat yang terbuka luas.

Umno perlu berubah untuk terus relevan. Jika tidak, ia akan pupus dimamah usia.

~ Ahmad Tajdid (Harakahdaily.net)

No comments: