“Assalamualaikum. Tolong bacakan. Lailahaillah, Allahu Akbar, surah al-Ikhlas 3x utk pejuang Palestin yang sdg dikepung Israel. SMS kan kpda 10 org rakan anda. AMANAH.”
SMS ‘rasmi’ sempena serangan Israel laknatuLLah ke atas umat Islam tidak berdosa menyerbu kotak mesej di kebanyakan telefon bimbit di Malaysia. SMS ini tersebar merata, dan saya sudah menerima SMS seumpama ini semenjak tiga tahun yang lalu. Tiada siapa yang tahu, siapakah pemulanya. SMS ini juga pelbagai versi, namun bahan kandungannya sama, iaitu bacakan zikir tahlil, takbir dan surah al-Ikhlas atau surah al-Fath. Untuk pejuang Palestin, ideanya. Ramai orang yang ingin turut rasa bersama untuk sama-sama menentang Israel, hanya dengan amalan sedemikian.
Membantukah cara ini, sehingga boleh memenangkan ketumbukan tentera Islam di sana? Apakah tauladan dari Nabi dan Sahabat apabila menerima tekanan hebat dan cengkaman perang dari tentera kuffar?
Qunut Nazilah: Cara Nabi, Salafussoleh dan para ulama
Tidak pernah tercatat dalam mana-mana sumber Islam bahawa apabila berperang dengan orang-orang kafir dan Yahudi, kita yang tidak ikut sama berperang dituntut untuk membaca zikir dan ayat tertentu. Kalau ia sesuatu yang perlu dan berkesan, sudah pasti ia tercatat lama dalam sejarah mahupun dalam mana-mana teks klasik Islam. Tetapi, Nabi mengajar kita dengan sesuatu yang lebih tajam dari itu, iaitu berdoa dalam qunut pada setiap solat yang lima, yang dipanggil qunut nazilah. Sesungguhnya, doa adalah senjata bagi orang Mukmin. Mari kita menggunakan senjata yang paling tajam dan jitu.
Apakah maksud nazilah? Ia bermaksud sesuatu perkara yang berat dan dahsyat yang menimpa sesuatu kaum seperti ketakutan, serangan musuh dan sebagainya. Doa ini dibaca setelah bangun dari rukuk bagi rakaat terakhir pada setiap kali solat fardhu sehingga nazilah itu diangkat oleh Allah. Ini bermakna, setelah nazilah itu tiada lagi, maka amalan qunut ini perlu dihentikan.
Terdapat banyak rekod bahawa Nabi melakukan qunut Nazilah dalam beberapa tempat dan keadaan. Antaranya sebagaimana berikut:
Daripada Anas:
أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قنت شهراً حين قُتِل القُرّاء، فما رأيته حزن حزناً قط أشدّ منه
Maksud:
Sesungguhnya Nabi s.a.w. berqunut selama sebulan semenjak para penghafaz al-Quran telah terbunuh, maka tidak pernah aku melihat baginda begitu sedih dengan kesedihan sekuat itu.
Daripada Ibn Umar:
أنه سمع النبي – صلى الله عليه وسلم – إذا رفع رأسه من الركوع في الركعة الأخيرة من الفجر يقول: (اللهم العن فلاناً وفلاناً وفلاناً بعدما يقول: سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد
Maksud:
Sesungguhnya dia mendengar Nabi s.a.w. ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat yang terakhir bagi solat Subuh, baginda berdoa: “Ya Allah, Engkau laknatlah si fulan, si fulan, si fulan selepas baginda menyatakan :
سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد
Dan banyak lagi riwayat yang datang dari amalan Nabi, para sahabat dan tabi’in sebagai bukti bahawa ia adalah perkara yang disyariatkan ketika umat Islam dalam keadaan yang sangat menekan dan menderita kesusahan.
Doa qunut nazilah tidak ditetapkan teksnya, dan bebas kepada individu untuk membacanya apa sahaja permohonan demi menyelamatkan umat Islam yang tertindas dan tertekan dengan ujian yang berat. Apa yang jelas, qunut nazilah mengandungi permohonan yang mendalam agar diberi kesalamatan ke atas kaum Muslimin dan permintaan agar dihancurkan dan dimusnahkan musuh-musuh Islam. Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa; “Maka adalah sunnah untuk berdoa qunut ketika nazilah menimpa dan didoakan padanya apa yang berkaitan kaum yang memerangi.” Beliau juga mengatakan bahawa, “dan diharuskan untuk orang yang berdoa pada setiap qunut nazilah dengan doa yang berkaitan dengan nazilah tersebut.”
Bacalah doa ini, juga amalkannya di dalam solat. Sila Klik di sini.
Maksud doa
Cukuplah Allah bagi kami dan dialah sebaik-baik tempat untuk berserah,
Cukuplah Allah bagi kami dan dialah sebaik-baik tempat untuk berserah,
Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan,
Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan,
Wahai Allah, Selamatkan Muslimin di Gaza,
Wahai Allah, Selamatkan Muslimin di Gaza,
Wahai Allah, jadikanlah bagi mereka pembantu dan penolong,
Ya Allah, Ya tuhan kami, hebatnya perlindungan-Mu dan agungnya pujian terhadap-Mu, sucinya nama-nama-Mu,
Ya Allah, tidak ada yang boleh menolak perintah-Mu, tidak ada yang boleh menghancurkan tentera-Mu,
Maha suci engkau dan segala pujian bagi-Mu,
Wahai Tuhan, hancurkanlah Yahudi yang zalim,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, yang menggerakkan awan, yang memporak perandakan persekutuan musuh,
Hancurkan mereka dan huru harakan mereka,
Ya Allah, tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kekuasaan Engkau,
Mereka adalah pembunuh para rasul dan nabi-Mu,
Mereka telah menzalimi orang-orang yang tidak berdosa,
Ya Allah bebaskanlah kaum muslimin di Ghaza,
Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan,
Ya Allah bebaskan tawanan mereka, sembuhkanlah orang yang sakit dari kalangan mereka, angkatlah kesusahan mereka,
Ya Allah, tukarkanlah ketakutan mereka dengan keamanan,
Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan,
Ya Allah, muliakanlah Islam dan kaum muslimin,
dan hinakanlah syirik dan orang-orang musyrikin,
dan hancurkanlah musuh-musuh agama,
Dengan lindungilah benteng-benteng Islam dan satukan suara orang Islam di atas kebenaran,
wahai Tuhan sekalian alam.
Wahai Tuhan bantulah orang-orang Islam yang lemah di setiap tempat,
Ya Allah, perbaikilah keadaan orang-orang Islam di Palestin, di Iraq dan di setiap tempat,
Ya Allah, satukan hati-hati orang Islam di antara mereka,
dan berikanlah hidayah kepada mereka ke jalan yang selamat,
dan keluarkanlah mereka daripada kegelapan kepada cahaya,
Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan, Kehebatan dan keagungan.
* Doa dibaca oleh Sheikh al-Mishary Rashid al-Afasy. www.al-adib.net
No comments:
Post a Comment